Monday 31 October 2011

Kerana Dia adalah Harapan


Sebuah coretan dari hati... 


Tiga tahun lepas, saya mengenali seorang hamba ALLAH. Perkenalannya cukup singkat dan sederhana tapi cukup untuk membuatkan saya terus mengingatinya. Hingga saat nurkilan ini dicoretkan, saya masih mengingatinya. Mungkin di saat nurkilan ini sudah lama dicoretkan pun, saya masih terus mengingatinya. Dia hanya manusia biasa, sama seperti orang lain. Dan pada pandangan orang lain pun, dia tiada apa. Dia hanya seorang manusia yang gagal dalam kerjaya, dalam hidup juga. 


Saya sendiri kurang pasti kenapa saya memandangnya dari sudut yang berbeza. Saya tidak memandangnya sebagai manusia gagal dalam hidup, tetapi saya memandang setiap kegagalan yang ditempuhi olehnya sebagai dugaan buatnya. Kata sahabat-sahabat semua berpunca dari dirinya sendiri yang salah membuat pilihan dalam hidup. Kata mereka juga, dia terlalu mengikut darah muda dan gopoh membuat keputusan. 


Benar, setiap orang diberi hak untuk memilih jalan yang mana harus dipilih. Dan risiko dari pilihan itu, kita sendiri yang tanggung. Tetapi bukankah setiap manusia itu tidak sempurna dan melakukan kesilapan. Dan sebagai hambaNya kita tak punya kuasa untuk menghukum apatah lagi untuk mengadili. 


Saya mengenali dia saat dia terjatuh. Waktu itu hanya keluarga yang berada di sisinya. Tidak pernah sekalipun saya terleka untuk meniupkan semangat buatnya. Dan tidak pernah sekalipun saya terlupa mendoakan kebaikkan untuknya. Walau pertama kali bertemu, saya melihat ada nada kesungguhan pada wajahnya.


Kerana sedikit kesilapan dan tindakan gopoh saya, kami tidak bertukar khabar hampir dua tahun. Saya tidak pernah mengharapkan dia akan memaafkan saya, jauh sekali untuk bersahabat semula dengan saya. Waktu itu saya berusaha mencarinya semula dan saya dapat tahu dia sudah bangun dari kegagalan dan menguruskan perniagaan keluarga. Kebetulan, saya ada sedikit kerja untuk diuruskan berhampiran rumahnya. Kami bertemu. Namun kekok itu masih memenuhi perbualan. Saya tidak menyalahkannya kerana saya tahu silap berpunca dari saya. 


Tidak lama kemudian, saya mendapat khabar dia menemui kegagalan lagi. Juga berpunca dari kesilapannya. Waktu itu tiada siapa lagi yang berdiri disisinya melainkan keluarga. Kawan di waktu senang hilang, tak mengaku kenal. Saya cuba untuk menghubunginya, tapi gagal. Saya tak tahu sama ada dia masih tak dapat maafkan saya atau malu saya mengetahui lagi tentang kegagalannya. Tidak lama kemudian, kami bertemu lagi. Saya nampak dia menanggung malu sehingga tidak mahu bertemu masyarakat. Saya bukanlah pandai memberi nasihat. Saya melayannya seperti biasa, seperti tiada apa yang berlaku. Sekadar untuk dia tahu yang saya masih memandangnya sama seperti dahulu. Tidak pernah saya menilainya sebagai seorang yang gagal.


Kini saya tidak punya apa-apa perantara lagi untuk berhubung dengannya. Saya percaya kuasa ALLAH itu hebat. Jika ditakdirkan dia membaca coretan ini tidak kiralah bila dan dimana, saya mahu dia tahu yang saya percaya satu waktu nanti dia akan bangun dan tidak akan gagal lagi. Saya sentiasa mendoakan apa saja yang terbaik untukknya. Dan saya tetap memandangnya dari sudut terbaik. Saya tidak mengharapkan dia tahu yang saya masih menunggu. Saya cuma mengharapkan yang saya masih boleh terus menunggu. Doa saya tidak pernah putus buatnya.



Nota kaki: Cinta yang agung adalah cinta yang menunggu dan terseksa.

2 comments: